Saturday, August 9, 2014

Ketchup

Seorang brader kelaparan tanpa berfikir panjang dia mendail kedai burger berdekatan. Sambil menunggu siaran lansung Liga Perdana Inggeris ada baiknya dia berusaha sedikit untuk mengisi perutnya.

Sebelum kisah ini berlalu lebih panjang ada baiknya diterangkan sedikit latar belakang brader tersebut. Dia orang lama di universiti walaupun dia paling senior dalam geng Lepak-lepak Tak Bertujuan(LTB) tapi dia tidak kekok untuk bergaul dengan member-member yang bertaraf adik baginya. Bak kata pepatah sukan itu menyatukan dan chinggey itu memecahbelahkan. Antara aktiviti hujung minggu geng LTB ialah menonton bola sambil mengulas isu-isu semasa secara surface sahaja (kalau diulas secara ilmiah nanti tidaklah nama kumpulan itu menjadi LTB).

Setelah seminggu bertungkus lumus melawan perasaan malas ke kuliah ada baiknya usaha itu dibalas dengan menikmati hujung bersama member menonton bola atau berborak kosong sambil minum air teh panas. Oleh sebab brader seorang ini orang yang paling senior, bahasa yang digunakan agak klasik. Kadang-kadang semacam dialog dalam drama Yusof Haslam pula, contoh; "walaubagaimanapun" selalu terpacul dari mulutnya (ya memang diakui seluruh negara perkataan tersebut hanya digunakan  ketika menulis karangan SPM untuk mencukupkan jumlah perkataan bagi subjek Bahasa Melayu) tapi digunakannya dalam pertuturan harian.

Berbalik kepada cerita asal, burger yang dipesan telah pun sampai, dia duduk dihadapan kaca televisyen lalu dibuka bungkusan dan disuapkan ke mulut. Bismillah mungkin di dalam hati, kita mungkin tidak tahu. Selepas gigitan pertama;

"Rasa kurang ketchup burger kali ini", dia bersuara.

"Kat rumah ni ada ketchup lebih?" dia memanjangkan soalan kepada geng LTB.

Tanpa menjawab soalan tersebut seorang member ke dapur membawa kicap soya, kebetulan pula seorang dari ahli rumah tersebut baru sahaja pulang dari Malaysia, bekalan kicap dibawa dalam botol Pepsi. Perkara biasa yang dilakukan oleh seorang pelajar luar negara untuk mengelakkan botol kaca kicap pecah dalam beg bagasi.

"Laa abang mintak ketchup bukan kicap, ada ke patut makan burger dengan kicap?"

"Haih korang ni pun", dia mengeluh kelihatan pipinya memboyah dengan makanan penuh di dalam mulut.

Suasana kembali sunyi semua fokus kembali tertumpu kepada kaca televisyen.

Tiba-tiba, datang seorang member lain, dengan keadaan termengah-mengah keletihan berdiri di ruang tamu mengambil nafas. Dia cuba bertenang.

"Hah kau ni kenapa? penat semacam je aku tengok" tegur seorang ahli LTB.

"Arab tadi baling batu, aku kejar lah, tapi tak dapat...." dia beritahu dengan nafas masih tercungap-cungap.

Mungkin kerana terlampau penat diambil botol Pepsi yang berada di tepi brader makan burger tanpa berfikir panjang dia terus meneguk sambil semua mata memerhati kepadanya untuk menanti reaksi seterusnya.

Pada hari tersebut terciptalah satu peribahasa dalam kalangan geng LTB.

"sudah dibaling arab minum kicap pula"

p/s: ketchup ni sos tomota, kalau dulu femes dengan lagu Asereje, The  Ketchup Song.

No comments:

Post a Comment